Memandangkan bahawa Allah ada berfirman seperti termaktub dalam Al-Quran iaitu"Tidak dijadikan manusia dan jin melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah," maka baiknya berkahwin atau beristeri itu ialah; Pertama; dengan itu hamba-hamba Allah akan bertambah ramai. Golongan Alim ulama ada menyatakan iaitu menjalankan tugas-tugas beranak isteri itu lebih baik dari menjalankan ibadah-ibadah sunnah. Kedua; nikah kahwin itu ada baiknya, seperti sabda Nabi iaitu doa anak-anak itu akan memberi faedah kepada ibu bapanya, apabila ibu bapa itu meninggal dunia; dan anak-anak yang meninggal dunia sebelum ibu bapanya akan memberi pertolongan atau syafaat kepada ibu bapa mereka di hari perbicaraan di akhirat kelak. Sabda Nabi, "Apabila seoramg anak disuruh memasuki syurga, anak itu menangis dan berkata, "Saya tidak akan masuk tanpa ibu bapa saya." Diriwayatkan bahawa satu hari Nabi memegang tangan baju seorang lelaki dan dengan keras menariknya kepada dirinya, sambil berkata, "Beginilah anak-anak kecil menarik ibu bapa mereka masuk ke syuga". Sambung baginda lagi, "Anak -anak berkumpul di pintu syurga dan mereka berteriak memanggil ibu bapa mereka sehingga ibu bapa mereka yang di luar itu disuruh masuk ke syurga bersama mereka." Adalah diriwayatkan iaitu seorang Wali Allah yang membujang bermimpi tentang hari perbicaraan di akhirat.
Matahari hampir benar dengan bumi, dan manusia kehausan yang amat sangat. Sekumpulan anak lelaki pergi ke sana dan ke mari memberi air kepada orang-orang yang dahaga itu. Air itu terisi dalam bekas-bekas emas dan perak. Apabila Wali Allah itu meminta sedikit air, permintaan tidak diperkenankan. Seorang daripada anak-anak itu berkata kepadanya, "Tidak ada anak tuan di sini". Setelah ia terjaga dari mimpi itu, ia pun terus membuat persiapan untuk kahwin. Satu lagi baiknya beristeri itu ialah melegakan fikiran tatkala duduk bersama bersenda gurau dengan isteri itu dan ini merehatkan fikiran setelah berpenat lelah menjalankan tugas-tugas ibadah. Setelah berehat itu bolehlah kembali beribadat dengan semangat yang baru. Bahkan Nabi sendiri, apabila baginda terasa berat dengan wahyu yang diturunkan kepadanya, akan berkata kepada isteri baginda Aisyah, "Bercakaplah denganku! wahai Aisyah; bercakaplah denganku!" Setelah berbual bersama dengan isterinya itu baginda mendapat kekuatan menanggung beban wahyu yang baru pula. Oleh sebab yang sama juga, beliau selalu menyuruh Bilal berazan dan kadang-kadang baginda menghidu bauan-bauan yang harum wangi.
Telah masyur sabda beliau, "Saya cinta tiga perkara dalam dunia ini, iaitu bauan-bauan yang harum wangi; perempuan; dan kelazatan dalam senbahyang." Satu ketika Umar bertanya kepada Nabi; Apakah perkara dalam dunia ini yang sepatutnya dicari, baginda menjawab, "Lidah yang sentiasa menyebut nama Allah, hati yang bersyukur, dan isteri yang beriman." Selanjutnya, baiknya beristeri itu ialah ada orang yang akan menjalankan urusan rumah tangga, seperti memasak, membasuh, menyapu rumah dan lain-lain. Jika lelaki sibuk dengan kerja-kerja itu, maka tidaklah cukup masa menuntut ilmu; menjalankan peniagaan, atau beribadah dengan sewajarnya. Kerana itulah Abu Sulaiman berkata, "Isteri yang baik itu bukan saja satu berkat di dunia ini tetapi juga di akhirat, kerana isteri itu membuat fikiran lebih rehat dan tenang dan dalam keadaan itu dapat memikirkan hari akhirat." Satu dari kata-kata Omar ialah; "Selepas imam, tidak ada kebaikan yang melebihi isteri yang baik." Berkahwin atau beristeri itu ada baiknya iaitu bersikap sabar dengan sifat-sifat perempuan, menyediakan keperluan-keperluan yang dikehendaki oleh isteri, dan membawa mereka ke jalan ugama, adalah bahagian-bahagian yang paling penting dalam ugama Islam. Nabi pernah bersabda, "Memberi kepada isteri itu wang yang diperluinya adalah lebih penting dari memberi sedekah".
Suatu ketika, apabila Ibni Mubarak sedang menjalankan kempen peperangan dengan orang-orang kafir, seseorang daripada sahabatnya bertanya kepada beliau, "Adakah kerja yang lebih mulia dari perang sabir Allah?" jawab Ibni Mubarik, "Ya ada, iaitu memberi makanan dan pakaiann kepada isteri dan anak-anak sewajarnya." Seorang Wali Allah bernama Basyar Hafi berkata, "Ada lebih baik seorang itu bekerja untuk isteri dan anaknya, tidak hanya untuk dirinya sahaja." Dalam satu Hadis ada dinyatakan setengah daripada dosa-dosa itu boleh dihapuskan oleh susah payah menyelenggarakan keluarga sendiri. Diceritakan bahawa seorang Wali Allah telah kematian isteri. Beliau tidak mahu kahwin lagi walaupun orang menyuruhnya berbuat demikian. Kata beliau dia lebih mudah menumpukan fikiran nya jika keseorangan. Satu malam beliau melihat dalam mimpi pintu syurga terbuka dan banyak malaikat turun. Mereka datang hampir dan melihat kepadanya. Seorang mereka berkata, inikah dia orang yang mementingkan diri sendiri saja itu?" Kawannya menjawab, "Ya inilah dia". Wali Allah itu takut hendak bertanya siapakah mereka yang dimaksudkan mereka itu. Kemudian seorang kanak-kanak lalu berhampiran dengannya. Wali Allah itu bertanya siapakah yang mereka maksudkan itu. Kanak-kanak itu menjawab, "Engkaulah yang mereka maksudkan itu.
Adalah hanya seminggu dulu amalan baikmu telah dirakamkan di Syurga bersama-sama dengan auliya Allah lain, tetapi sekarang nama engkau telah dipotong dari senarai nama-nama itu." Wali Allah itu bergoncang fikirannya. Apabila terjaga beliau pun bersedia berkahwin semula. Dari segala tersebut di atas itu, maka nampaklah betapa kahwin atau beristeri itu amatlah diperlukan. Buruk dan Kurang Baiknya Berkahwin. Sekarang kita bicarakan pula tentang buruk atau kurang baiknya beristeri atau berkeluarga itu. Satu daripada tidak baiknya ialah ada kemungkinan si suami mencari wang dengan cara haram untuk memberi nafkah hidup bagi keluarganya dan dengan ini dosanya itu payah hendak ditampung walau pun dengan amal-amal kebaikkan yang baik. Nabi ada bersabda iaitu di akhirat kelak ada orang yang seperti gunung banyak amal solehnya dibawa dan diletakkan dikah mizan (neraca yang mempertimbangkan amal baik dan amal jahat yang didirikan di hari perbicaraan di akhirat kelak). Orang itu akan ditanya, "Bagaimana engkau menanggung keluargamu?" Orang itu tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan, dan semua amal sholehnya akan dimansuhnya dan perisytiharan akan dibuat baginya, "Inilah orang yamg semua amal solehnya telah dimakan oleh keluarganya". Lagi satu kurang baiknya ialah melayan keluarga dengan baik dan sabar dan menjaga hal ehwal mereka dengan memuaskan hati hanya boleh dilakukan oleh orang yang berakhlak mulia. Inilah satu bahaya yang besar kerana mungkin seseorang itu melayan kelakuannya dengan kasar atau tidak memperdulikan mereka; dan ini membawa dosa kepada dirinya.
Nabi Muhammada SAW. pernah bersabda; "Orang yang meninggalkan isteri dan anaknya adalah seperti hamba lari. Sembahyang dan puasanya tidak akan diterima Allah sehingga dia kembali kepada mereka" Pendeknya manusia itu ada tabiat yang rendah itu, maka lebih baik jangan ada tanggungjawab mengkontrol orang lain. Seorang bertanya kepada Wali Allah Bashir Hafi kenapa ia tidak beristeri. Beliau menjawab; "Saya takut ayat Allah seperti yang tersebut dalam ayat Al-Qur'an iaitu; "Haq perempuan ke atas lelaki adalah sama dengan haq lelaki ke atas perempuan." Yang ketiga tidak baiknya berkahwin itu ialah menjaga keluarga itu biasanya menggangu seseorang itu untuk menumpukan hatinya kepada Allah dan hari akhirat. Kalau dia tidak berhati-hati mungkin itu membawa kerosakan, kerana Allah ada berfirman; "Janganlah hendaknya isteri dan anak-anak kamu itu memalingkan dari mengingati Allah." Siapa yang menganggap dengan tidak kahwin itu lebih baik dan sanggup menumpukan fikirannya kepada tugas-tugas agama, maka lebih baiklah tinggal membujang sahaja; dan siapa yang takut membuat dosa jika ia tidak kahwin, maka lebih baiklah berkahwin. Memilih Isteri Yang Baik Sekarang sampailah masanya kita mengkaji pula faktor-faktor yang kita hendak cari pada perempuan yang hendak dijadikan isteri. Yang paling penting ialah kesuciannya atau kehormatannya.
Jika isteri itu tidak suci atau buruk perangai dan telah rosak, dan suaminya berdiam diri; maka suami itu mendapat nama yang tidak baik dan terhalang dalam peribadatannya. Jika suami bercakap, hidupnya menjadi pahit. Jika isteri itu dicerai, si suami akan merasai azabnya berpisah. Isteri yang cantik tetapi bersifat jahat adalah satu celaka yang besar. Isteri yang seperti itu patut diceraikan. Nabi pernah bersabda; "Orang yang mencari isteri kerana kecantikkan atau harta bendanya akan kehilangan kedua-keduanya itu." Faktor yang kedua ialah perangai yang baik yang baik. Isteri yang berperangai buruk tidak berterima kasih, suka cerewet yang suka memerintah suami menjadi suami susah dan tidak akan sanggup suami menahan kesusahan itu; dan juga akan menghalang suami menurut kehidupan beragama yang suci. Faktor yang ketiga dicari ialah kecantikkan atau lawannya. Dan sifat ini membawa kepada rasa cinta dan kasih sayang. Oleh itu, sebelum mengahwini seseorang perempuan itu, maka perlulah ia dilihat terlebih dahulu. Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda; "Perempuan dari puak itu jahat matanya; siapa yang ingin mengkaji mereka hendaklah melihat mereka dahulu." Orang yang bijak pandai ada berkata iaitu sesiapa yang mengkaji perempuan tanpa melihatnya terlebih dahulu akan menyesal kemudiannya. Memang benarlah seseorang itu janganlah mengahwini perempuan semata-mata kerana cantiknya sahja, tetapi ini tidak bererti pula cantik atau lawannya itu tidak dikira langsung. Perkara keempat yang penting ialah meskipun mas kahwin atau mahar yang dibayar oleh lelaki kepada perempuan yang hendak dinikahinya itu hendaklah sederhana, Nabi pernah bersabda; "Isteri yang paling baik itu ialah yang sedikit mahar dan cantik parasnya."
Baginda sendiri pernah menjelaskan mas kahwin atau maharnya dengan sepuluh dirham sahaja, dan anak gadis beliau sendiri maharnya tidak lebih daripada empat ratus dirham. Yang kelima, perempuan itu janganlah mandul. "Sekeping tikar lama yang terletak di penjuru rumah adalah lebih baik dari isteri yang mandul." demikianlah satu hadis menyatakan. Lain-lain faktor yang patut ada perempuan yang hendak dinikai ialah perempuan itu hendaklah dari keluarga yang baik-baik. Hendaklah belum pernah dinikahi dan tidak terlampau dekat tali persaudaraannya dengan bakal suami. Berkenaan Dengan Nikah Kahwin. Nikah kahwin adalah intitusi(adat istiadat) keagamaan den hendaklah digalurkan secara agama. Jika tidak, perhubungan lelaki dan perempuan akan menjadi tidak lebih dari perhubungan binatang. Syariat mengharuskan supaya diadakan kenduri kahwin. Apabila Abdul Rahman bin Auf berkahwin, Nabi bersabda kepada beliau; "Buatlah kenduri walaupun engkau ada seekor kambing." Apabila Nabi sendiri berkahwin dengan Sufiah, baginda berbuat kenduri dengan jamuan buah tamar dan barli. Upacara perkahwinan itu bolehlah diiringi dengan pukulan gendang dan alat-alat muzik kerana manusia itu adalah mahkota kejadian atau makhluk yang paling tinggi. Yang kedua, suami itu hendaklah berbaik-baik dengan isterinya. Ini tidaklah bererti si suami tidak boleh langsung menyusahkan isterinya, tetapi ia mestilah sanggup bersabar menahan perbuatan isterinya yang mungkin menimbulkan perasaan marahnya.
Perempuan itu dijadikan lemah dan tidak boleh diperdedahkan. Oleh itu lelaki hendaklah bersabar menjaga mereka dan janganlah mereka menonjolkan sangat-sangat dirinya. Nabi pernah bersabda; "Siapa yang bersabar terhadap perbuatan isterinya yang tidak disukainya adalah sama seperti Nabi Ayub yang sabar menanggung segala ujian." Tatkala baginda berbaring hampir hendak kembali ke Rahmatullah terdengar baginda bersabda; "Teruskan sembahyang dan layanlah isterimu dengan baik kerena mereka itu adalah orang tahanan kamu." Baginda sendiri bersabar sekali terhadap tindak-tanduk siteri-isteri baginda. Suatu hari isteri Umar sangat marah dan lantas memaki Umar. Umar berkata kepada isterinya; "Lidah kau jahat. Engkau jawab aku ya!." Isterinya menjawab; Ya Tuhan! Rasul itu lebih baik dari kamu". dan isterinya menjawabnya. Umar berkata; "Aduhai Hafsah(anak perempuan Umar dan isterinya Rasulululah SAW.) kenapa dia merendahkan dirinya?." Apabila beliau berjumpa dengannya, beliau berkata; "Janganlah engkau menjawab perkataan Nabi." Nabi juga bersabda; "Orang yang paling baik itu ialah orang yang berbaik-baik dengan keluarganya kerena Aku pun orang yang paling baik dengan keluargaku." Yang ketiga, si suami hendaklah jangan menghalang kesukaan dan hiburan isterinya. Nabi sendiri suatu ketika berlumba lari dengan isterinya Aisyah.
Pada mulanya Nabi mendahuli isterinya, dan kali keduanya isterinya mendahuluinya. Suatu ketika baginda mengangkat isterinya itu dengan tangannya agar dapat Aisyah melihat beberapa orang Negro sedang bertemasya. Bahkan tidak ada orang yang paling baik kepada isterinya sebagaimana Nabi Muhammad SAW. Orang yang bijak pandai pernah berkata; "Si suami itu hendaklah pulang ke rumah dengan senyum dan makan apa yang ada, dan janganlah meminta apa yang tidak ada." Walau bagaimanapun janganlah terlalu berlemah-lembut agar isteri tetap menghormati si suami. Jika dilihat isterinya itu berbuat perkara yang tidak benar, maka si suami hendaklah menegurnya. Jika tidak, jadilah si suami itu tempat ketawa orang sahaja. Dalam Al-Qur'an ada termaktub; "Lelaki itu hendaklah kedudukannya lebih sedikit dari perempuan." Dan Nabi Muhammad SAW. ada bersabda; "Sengsaralah lelaki yang menjadi kuli isterinya." Sepatutnya si isteri itulah yang menjadi orang bawah suaminya. Orang bijak pandai ada berkata; "Berundinglah dengan perempuan dan tidaklah berlawanan dengan apa yang mereka nasihatkan." Sebenarnya ada sesuatu yang jahat pada perempuan. Jika mereka dibenarkan juga, maka mereka tidak akan terkawal lagi dan payahlah mereka dikawal lagi. Melayan mereka itu hendaklah dengan keras di samping lembut, tetapi hendaklah dilebihkan lembut itu.
Nabi pernah bersabda; "Perempuan itu dibentuk dari tulang rusuk yang bengkok. Jika kamu cuba meluruskannya, dia akan bertambah bengkok lagi; Oleh itu layanlah mereka dengan lembut." Berkenaan dengan sopan santun, seseorang itu tidak boleh terlalu hati-hati hingga si isteri itu tidak boleh melihat atau dilihat oleh orang lain. Kerana permulaan maksiat itu adalah dari mata, seberapa boleh janganlah si isteri hendaklah jangan dibenarkan pergi ke luar rumah, atau pergi ke atas Satah atau berdiri di pintu. Berhati-hatilah supaya jangan sampai terlalu cemburu dan keras sangat terhadap isteri. Nabi Muhammad SAW. pernah bertanya kepada anaknya Fatimah; "Apakah yang paling baik bagi wanita?" Fatimah menjawab, "Perempuan itu hendaklah jangan melihat orang yang tidak dikenali dan jangan juga orang yang tidak dikenali melihat mereka." Nabi berpuas hati dengan jawaban itu dan memeluknya sambil bersabda; "Sesungguhnya engkau adalah sebahagian daripada hatiku." Amirul Mukminin Umar pernah berkata; "Jangan beri perempuan kain baju yang cantik kerana mereka akan keluar rumah setelah memakai kain baju yang cantik itu." Di zaman Rasulullah SAW. dahulu kaum perempuan dibenarkan pergi ke mesjid dan berdiri di barisan belakang sekali dalam jamaah itu, tetapi ini telah dilarang kemudiannya. Si suami itu hendaklah memberi wang secukupnya kepada isterinya, dan jangan terlampau kedekut. Memberi kepada isteri itu penyelenggaraan sewajarnya adalah lebih baik dari memberi sedekah.
Nabi pernah berkata; "Sekiranya seseorang itu membelanjakan satu dirham untuk Perang SabiluLlah. Satu dinar lagi menebus hamba abdi. Satu lagi menderma lagi untuk kebajikan dan yang keempat kepada isterinya. Maka yang keempat ini melebihi baiknya dari semua yang ketiga itu dikumpulkan sekali." Si suami itu janganlah memakan terutamanya sekali benda-benda yang baik berseorangan. Jika ia memakannya, ia hendaklah berdiam diri dan janganlah memuji makanan itu di hadapan isterinya. adalah lebih baik bagi suami dan isteri itu makan bersama, jika tetamu tidak ada hadir. Nabi pernah berkata; "Apabila mereka berbuat demikian, Allah akan menurunkan Rahmat kepada mereka dan malaikat mendoakan mereka." Perkara yang paling penting ialah benda yang diberikan kepada isteri itu hendaklah diperolehinya dengan cara yang halal. Jika si isteri itu menderhaka dan tidak patuh, maka si suami menasihatinya dengan baik. Jika ini tidak mencukupi, dia hendaklah tidur berasingan dengan isterinya selama tiga malam. Jika inipun tidak mencukupi, maka bolehlah ia dipukul tetapi tidak memukul mulut atau terlampau kuat hingga mencederakannya. Jika si isteri lalai dengan tugas-tugas agamanya, maka si suami hendaklah menzhohirkan rasa tidak sukanya kepada isterinya selama sebelum sembuh sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi pada suatu masa kepada semua isterinya.
Seboleh-bolehnya penceraian hendaklah dielakkan meskipun penceraian itu dibolehkan, namun begitu Allah tidak menyukai "Cerai" itu kerana perkataan itu sendiri menyakiti hati perempuan. Adakah baik menyakiti seseorang? Apabila penceraian diperlukan benar, janganlah dibuat tiga sekali gus. Perempuan itu hendaklah diceraikan dengan secara baik bukan dengan marah dan bukan dihina dan bukan pula tanpa sebab. Setelah dicerai, si lelaki itu hendaklah memberi hadiah kepada perempuan yang dicerainya itu dan janganlah diberitahu kepada orang lain sebab apa ia diceraikan. Ada seorang yang hendak mencerai isterinya, orang bertanya kepada beliau; "Kenapa tuan ceraikan ia?" Beliau menjawab; "Saya tidak akan membukakan rahsia isteriku." Apabila ia telah benar-benar menceraikan isterinya, beliau ditanya lagi kenapa isterinya itu diceraikan. Beliau menjawab; "Sekarang ia adalah orang asing kepada saya, dan saya tidak ada tahu menahu tentang dia lagi." Kita telah bincangkan berkenaan haq isteri kepada suami. Maka hak suami kepada isteri itu adalah lebih terikat lagi. Nabi Muhammad SAW. pernah bersabda; "Jikalah dibolehkan menyembah selain dari Allah, maka patut benarlah si isteri menyembah suaminya." Si isteri janganlah membanggakan kecantikkan di hadapan suaminya. Janganlah si isteri membalas kebaikan suaminya dengan kejahatan. Si isteri janganlah berkata kepada suaminya; "Kenapa kamu melayan aku sekian-sekian?" Nabi bersabda; "Saya melihat neraka dan ternampak banyak perempuan di situ. Saya bertanya kenapa begitu. Maka terdengar jawaban. Jawapannya ialah mereka itu derhaka kepada suami dan tidak membalas kasih kepada suami mereka."
Silahkan Gunakan Facebook Comment, Jika Anda Tidak Memiliki Url Blog!
0 komentar:
Posting Komentar